SEJARAH PENCIPTAAN JALUR GEMILANG

Penciptaan Bendera daripada sebuah pertandingan

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk pada Mei 1948 dan seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang.

 

 

 

Penciptaan Bendera mengalami beberapa fasa perubahan reka bentuk

Reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna diraja. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI.

 

Pertama kali bendera Malaysia dikibarkan

Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

 

Bendera Malaysia Jalur Gemilang

Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang.

 

Comments

Post a Comment

Popular Posts